dipetik dari blog:: http://suhilinain.blogspot.com (Suhili bin Nain
assalamualaikum n salam sejahtera sahabat sahabiah yg disayangi skalian~ setelah sekian lama tdk mengarang, sy bawakan satu topik yg sangat penting utk tatapan REMAJA-REMAJA atau orang putih kabo TEENAGERS yg ada diluar sana+ slamat membaca (^^,)
'Mind Set' Tentang Usia Remaja.
Masa remaja adalah zaman yang paling manis, kerana pada zaman remaja hidup kita lebih bebas berbanding ketika berada di usia kanak-kanak. Dalam zaman remaja, pelbagai perkara yang boleh kita rasakan dan ceburi, daripada soal cinta hinggalah kepada persahabatan dan pelbagai benda baru. Kita merasa kita saat itu sepatutnya dibiarkan bebas untuk memilih apa yang kita inginkan. Terlerai daripada kongkongan kedua orang tua.
Itulah anggapan yang bermain di dalam kebanyakan minda mereka yang meningkat ke usia remaja. Namun, sekiranya kita berfikir secara kritis dan teliti, apa yang difikirkan di atas itu sebenarnya daripada jauh kebenaran yang sebenar. Zaman remaja bukanlah zaman 'enjoy' dan bergembira, tetapi sebenarnya ia adalah zaman yang cukup kritikal dan menjadi penentu kepada masa depan kita. Tersilap langkah, buruk padahnya!
Apa-apa keputusan yang akan kita lakukan dalam lingkungan usia remaja ini, ianya akan memberi 'effect' yang besar kepada masa depan ketika meningkat usia dewasa nanti.
----------------------------------->>>>><<<<<-----------------------------------
Apa Kata Islam Tentang Remaja?
Menurut Islam, lingkungan usia remaja bukanlah lesen untuk kita hidup dalam serba kebebasan. Bahkan, usia lingkungan remaja sebenarnya adalah satu permulaan, bahawa bagi seseorang insan itu memulakan memegang amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
"Diangkat pena (tidak dicatat amalan) dari tiga golongan: orang yang tidur sehingga dia bangun (jaga), dan kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), dan orang yang gila sehingga dia berakal (siuman)." (HR Ahmad. Terdapat hadis sahih di dalam Irwa Al-Ghalil yang mempunyai maksud yang sama tetapi dengan lafaz yang berbeza)
Baligh adalah 'first step' bagi bermulanya kehidupan usia remaja. Daripada hadis di atas, jelas kepada kita bahawa remaja adalah saat bermulanya penulisan catatan amalan bagi seseorang insan. Ini bermakna, segala tindakan yang dilakukannya bermula daripada tempoh baligh itu akan dipertanggungjawab kepadanya oleh Allah SWT di hari penghisaban kelak.
Bayangkan, seorang remaja yang baru baligh dan memasuki lingkungan usia remaja. Tidak lama beberapa jam selepas beliau baligh, remaja itu telah meninggal dunia kerana telah tiba ajalnya. Maka bagi remaja itu, masa beberapa jam selepas baligh itulah yang akan menentukan nasibnya di hari Akhirat kelak.
Sekiranya dalam masa beberapa jam itu dia menghabiskan masa dengan perkara yang berfaedah dan ibadat kepada Allah SWT, maka insya' Allah nasibnya di alam yang berikutnya akan menjadi mudah. Tetapi cuba bayangkan, seandainya dalam masa beberapa jam yang singkat itu dia meninggal dunia dia telah menghabiskan masanya dengan perkara yang tidak berfaedah, perbuatan maksiat yang mengundang murka Allah SWT, apakah akibat yang akan menimpa dirinya setelah itu?
Oleh itu, seharusnyalah bagi setiap remaja yang beragama Islam menyedari perkara ini, dan menginsafi diri bahawa usia remaja bukanlah untuk hidup sebebas-bebasnya, tetapi sebenarnya ada permulaan sebuah tanggung jawab yang besar. Ingat, terlebih bebas selalunya terbabas!
----------------------------------->>>>><<<<<-----------------------------------
Remaja Soleh: Antara Tujuh Golongan Yang Mendapat Naungan.
Telah disebutkan dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa pada hari kiamat nanti, ketika hari di mana tiada naungan melainkan naungan daripada Allah SWT, terdapat tujuh golongan yang akan diberi keistimewaan. Saat manusia lain sedang berdiri di dalam sinaran cahaya yang cukup panas dan menyengat, tujuh golongan ini pula sebalik berada dalam suasana yang tenteram dan aman, kerana mereka mendapat naungan perlindungan daripada Allah SWT.
Diantara tujuh golongan berkenaan, salah satunya adalah pemuda yang membesar dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT. Inilah keistimewaan dan kelebihan yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada mana-mana remaja yang ketika dalam proses pembesarannya menghabiskan masanya untuk mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.
Atas dasar menyedari perkara inilah mengapa para Salafus Soleh yang terdahulu ketika usia remajanya menghabiskan masanya dengan usaha menuntut ilmu dan beramal. Bahkan cukup mengangumkan, ada diantara para Salafus Soleh itu usia remaja lagi sudah menjadi orang yang terpandang, bahkan mencapai taraf ilmuan yang menjadi sebutan.
Sebagai contohnya, Imam Syafi'e Rahimahullah, pendiri kepada Mazhab Syafi'e dan penyusun kitab Usul Feqh yang pertama, ketika usianya mencecah 18 tahun dalam usia remaja, keilmuannya sudah melayakkannya untuk mengeluarkan fatwa yakni menjadi mufti dan menjadi rujukan dalam menjawab persoalan umat. Imam Syafi'e, ketika kecilnya sehinggalah mencapai usia dewasa beliau tidak pernah jemu untuk menuntut ilmu dan beramal. Selain itu, terdapat lagi banyak lagi kisah-kisah lain daripada kalangan para Salafus Soleh yang ketika usia remajanya telah menjadi antara yang terbilang di dalam sejarah umat Islam serta menjadi kebanggaan hingga kini.
Perkara ini seharusnya menjadi pedoman buat kita tidak mengira peringkat usia, menjadi contoh dan pembakar semangat dalam mengejar kejayaan dalam kehidupan dunia dan di akhirat yang kekal abadi. Sekiranya perkara ini dapat dihayati oleh remaja hari ini dengan sebaiknya, ianya boleh satu menjadi 'turning point' yang besar dalam pemikiran mereka.
----------------------------------->>>>><<<<<-----------------------------------
Kalau Bukan Remaja, Siapa Lagi?
Sudah menjadi lumrah, setiap yang muda pasti akan tua, dan setiap yang tua pasti akan pergi, kerana takdir Ilahi telah menetapkan "Kullu nafsin dza iqotul maut!" (Setiap jiwa pasti akan merasai kematian).
Begitulah masa silih berganti. Remaja hari ini adalah generasi pelapis masa depan, suatu hari nanti mereka pasti akan dewasa, dan seterusnya memegang nasib umat ini. Pujangga pernah bermadah:
"Seandainya engkau ingin melihat masa depan sesuatu umat, maka lihatlah kepada pemudanya hari ini!"
Oleh itu, menyedari hakikat ini remaja sepatutnya mempersiapkan diri daripada sekarang untuk memikul tanggung jawab yang besar itu. Jangan asyik mengamalkan sikap, "Tidak apa, orang lain kan ada!", kerana masa depan dan kekuatan itu bukan dibina dengan seorang, tetapi ianya dibina dengan ratusan, ribuan dan jutaan orang.
Untuk membina masa depan yang gemilang, remaja juga harus mempunyai jati diri dan membuang sikap memandang remeh kewujudan serta sumbanganya,
"Alah, aku seorang saja bukan boleh akibatkan apa-apa pun!".
"Alah, aku seorang saja bukan boleh akibatkan apa-apa pun!".
Ingat, kecil bukan bermakna tidak bererti atau tidak penting. Bahkan perkara yang kecil itulah sering membawa perubahan yang drastik dan cukup besar dalam kehidupan dan masa depan. Kerana menyimpang beberapa darjah, panah yang dilepaskan boleh tersasar jauh daripada sasaran!
----------------------------------->>>>><<<<<-----------------------------------
so ape pandangan sahabat sahabiah sekalian tentang usia remaja? adakah hanya bererti KEBEBASAN semata-mata atau TURNING POINT untuk mencorakkan masa dewasa kita.. INGAT, masa remaja yg akan mencorakkan masa dewasa kita... konklusinya, sama2 kita renung n muhasabah diri agar kita berada di landasan yang betul, yakni mencapai mardhatillah.. wallahua'lam~~
No comments:
Post a Comment